Minggu, 19 Februari 2012

Mengenal Imam asy-Syafi'i Rahimahullah


Kita di Indonesia sering mengklaim bahwasanya kita mengamalkan Islam berdasarkan Madzhab asy-Syafi’i ahli sunnah wal-jama’ah. Tapi sayangnya, mayoritas masyarakat Islam kita sendiri masih tidak tahu siapakah dia Imam asy-Syafi’i rahimahullah. Kenapa kita bermadzhab Syafi’i? Apa karya-karya tulis beliau? Apa pegangannya?

Lantas benarkah kita bermadzhab dengan madzhab asy-Syafi’i? Atau kita sedang mengamalkan madzhab yg kita pun tidak tahu menahu?

Sepatutnya wajib bagi kita untuk mengenali siapakah ulama kita. Yaitu tempat di mana kita mengambil ilmu, agama, dan pendapat. Yaitu para ulama yang mewariskan ilmu-ilmu warisan Nabi berupa al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidak wajar sekiranya kita mengamalkan suatu ilmu dan menisbahkan atas nama ulama tersebut namun kita tidak mengetahui siapakah beliau.

Seorang tabi’in besar, Muhammad bin Sirin rahimahullah (Wafat 110H) mengatakan : “Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk Muqaddimah Shahih Muslim, 1/33)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda : “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan dinar maupun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadits Riwayat Abu Daud, 49/10, no. 3157. Dinilai shahih oleh al-Albani)

Oleh itu, sebelum kita mengambil ilmu ulama tersebut dan bermadzhab dengan pendapat serta ilmunya, ada baiknya kita mengenali terlebih dahulu siapakah beliau.

Perkataan Madzhab
Asal makna madzhab sebenarnya merujuk kepada pendapat, jalan, methodologi, aliran, ajaran, kerangka pemikiran, atau ushul bagi sesuatu perkara. Dari sudut istilah, madzhab merujuk kepada himpunan pendapat atau kerangka methodologi yang membina sesuatu pendapat bagi sesebuah aliran agama.

Contohnya seperti madzhab asy-Syafi’i, merujuk kepada methodologi yang digunakan oleh Imam asy-Syafi’i atau para pengikutnya dalam memahami nash-nash al-Qur’an dan al-hadits. Boleh juga merujuk kepada pegangan (atau fatwa) yang dikeluarkan oleh Imam asy-Syafi’i dan para pengikutnya sama ada dalam persoalan aqidah atau fiqh.

Di antara contoh-ontoh madzhab dalam aqidah adalah seperti madzhab ahlus sunnah wal-jama’ah, madzhab al-khawarij, muktazilah, qadariyah, murji’ah, al-asya’irah, dan syi’ah. Bagi madzhab fiqh, ia merujuk kepada contoh-contoh perbezaan pendapat dalam aliran ahli sunnah wal-jama’ah dalam urusan fiqh seperti Maliki, Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali.

Perbedaan madzhab dalam aqidah akan menentukan benar atau sesatnya sesuatu kelompok tertentu. Dan madzhab yang benar dalam aqidah adalah madzhab ahli sunnah wal-jama’ah atau juga dikenali sebagai madzhab para salaf. Berbeda dengan perselisihan dalam aliran fiqh seperti Maliki, Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali, ia tidak menjadi ukuran terkeluarnya seseorang atau pendukung madzhab fiqh tersebut dari kebenaran selagi mana masih berada dalam kerangka methodologi (madzhab) aqidah ahli sunnah wal-jama’ah.

Siapa Imam Asy-Syafi’i?
Beliau adalah Muhammad bin Idris asy-Syafi’i bin al-‘Abbas bin ‘Utsman bin Syafi’i bin as-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abdu Yazid bin Hisyam bin al-Muthallib bin ‘Abdi Manaf. Imam asy-Syafi’i lahir pada tahun 150 H yang merupakan tahun kewafatan Imam Abu Hanifah rahimahullah.

Beliau adalah seorang imam, ‘aalim (sangat berilmu), naashirul hadits (pembela hadits), dan pendapatnya (madzhabnya) menjadi ikutan. Beliau berketurunan Quraisy, lahir di perkampungan Ghozzah di kota ‘Asqalan lalu berhijrah ke Makkah. Beliau memiliki nasab sampai kepada nasab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ‘Abdi Manaf bin Qushay.

Imam asy-Syafi’i rahimahullah dikenali sebagai pembela hadits kerana komitmennya dalam mengikuti sunnah dan terkenal menentang aliran ra’yi, yaitu golongan yang suka berhujjah menggunakan akal berbanding dalil-dalil al-Qur’an dan al-hadits seperti golongan ahli kalam dan ahli falsafah. Termasuk gurunya sendiri yaitu Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani rahimahullah sering beliau bantah kerana berhujah dengan ra’yi.

Walaupun Imam asy-Syafi’i sangat menghormati dan menyayangi Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani rahimahullah, tetapi dikala pendapat yang dipegang oleh gurunya tersebut bertentangan dengan dalil, ia tidak berbasa-basi untuk menegur dan membantahnya. Oleh kerana itulah di setiap kali selesainya halaqah Muhammad bin al-Hasan, beliau akan datang mendekati anak-anak murid Muhammad bin al-Hasan yang lain untuk berdiskusi dengan mereka.

Pengembaraan beliau dalam menuntut ilmu mencakupi bumi Makkah, Madinah, Yaman, Kufah, Bashrah, Syam, dan Mesir. Beliau adalah seorang yatim, miskin, dan tidak berharta. Tetapi kerana semangatnya yang kental dan cintakan ilmu, akhirnya Allah memuliakannya sebagai seorang imam dalam agama ini.

Beliau membesar dalam asuhan seorang ibu dan guru yang ramai. Beliau begitu tekun belajar sehingga menguasai al-Qur’an seawal usia 7 tahun dan hafal kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik ketika usianya 10 tahun atau 13 tahun. Pada usianya 15 tahun (dalam riwayat lain 18 tahun), beliau telah mendapat izin daripada gurunya Muslim bin Khalid az-Zanji rahimahullah untuk berfatwa.

Ketika di Makkah
Di usia kanak-kanaknya beliau telah menghabiskan waktunya untuk mendalami agama dan berguru dengan banyak ulama. Beliau rajin menulis setiap ilmu yang dipelajarinya pada tulang-tulang dan yang semisalnya. Kesusahan dan kemiskinan hidup sama sekali bukan halangan bagi dirinya untuk berkomitmen dalam menuntut ilmu.

Imam asy-Syafi’i menceritakan : “Aku hidup sebagai seorang yatim dalam jagaan ibuku. Ibuku tidak mampu membayar seorang guru untuk mengajarku. Tetapi guru tersebut ridha dan merasa senang jika aku dapat menjadi penggantinya. Maka setelah aku menghabiskan al-Qur’an, aku hadir di masjid dan berkumpul bersama-sama para ulama untuk menghafal hadits dan permasalahan agama sementara tempat tinggal kami terletak di jalan Bukit al-Khaif. Aku menulis (ilmu yang dipelajari) di atas tulang. Setelah banyak, tulang-tulang tersebut aku masukkan ke dalam sebuah bekas besar.” (Tawaali at-Ta’siis, m/s. 54. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 23 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Berdasarkan keterangan riwayat-riwayat, Imam asy-Syafi’i memulakan pengajiannya dengan mempelajari al-Qur’an di Makkah, dan kemudian meneruskan kepada ilmu bahasa dengan mula menekuni sya’ir-sya’ir ‘Arab, sejarah ‘Arab, dan sastra-sastra ‘Arab. Beliau banyak bergaul rapat dengan suku Hudzail jauh di kawasan pedalaman yang dengannya beliau menguasai bahasa ‘Arab, balaghah, dan syai’r-sya’ir ‘Arab. Ini turut beliau teruskan ketika bolak-balik di antara Makkah dan Madinah.

Setelah menekuni ilmu bahasa, beliau kembali lagi ke Makkah. Kemudian barulah beliau mendalami ilmu-ilmu fiqh di Makkah terutamanya bersama-sama dengan mufti Makkah ketika itu, Syaikh Muslim bin Khalid az-Zanji rahimahullah.

Setelah beberapa waktu, beliau pun mulai melangkahkan kaki melakukan pengembaraan pertamanya ke Madinah dalam rangka menuntut ilmu. Beliau berangkat ke Madinah kira-kira pada usia 13 tahun dalam rangka menguasai ilmu hadits dan fiqh serta sering bolak-balik di antara Makkah dan Madinah.

Di Madinah beliau bertemu dengan Imam Malik bin Anas rahimahullah (Wafat 179 H), berguru dengannya, dan membacakan kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik yang telah beliau hafal sejak awal. Beliau dikatakan oleh para ulama telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik bin Anas dan menghimpunkan ilmu dari para ulama di Madinah.

Imam asy-Syafi’i rahimahullah menceritakan : “Aku keluar dari Makkah untuk hidup dan bergaul dengan suku Hudzail di kawasan pedalaman. Aku mengambil bahasa mereka dan mempelajari ucapan-ucapan mereka. Mereka adalah suku ‘Arab yang paling fasih bahasanya. Setelah beberapa tahun tinggal bersama-sama dengan mereka, aku pun kembali ke Makkah. Kemudian aku membacakan sya’ir-sya’ir mereka, mengungkapkan peristiwa-peristiwa dan kisah-kisah peperangan bangsa ‘Arab. Ketika itu lewatlah seorang lelaki dari suku az-Zuhri dan beiau berkata kepadaku, “Wahai Abu ‘Abdillah, sayang sekali jika keindahan bahasa yang engkau kuasai tersebut tidak diimbangi dengan ilmu dan fiqh.”

Aku (Imam asy-Syafi’i) menjawab : “Siapakah orang yang patut aku temui?”. Ia menjawab pula ; “Malik bin Anas, pemimpin umat Islam.” Imam asy-Syafi’i mengatakan : “Maka timbullah minatku untuk mempelajari kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik.” Atas sebab itu, aku pun meminjam kitab tersebut dari seorang lelaki di Makkah. Setelah menghafalnya, aku pun menemui Gubernur Makkah dan mengambil surat untuk aku berikan kepada Gubernur Madinah dan Imam Malik.” (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 26 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Mush’ab az-Zuhri mengatakan : “Imam asy-Syafi’i telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik bin Anas dan mengumpulkan ilmu para syaikh yang ada di Madinah.” (Mu’jam al-Udabaa’, 17/283)

Ujian Melanda
Sekembalinya imam asy-Syafi’i dari Madinah ke Makkah, beliau rahimahullah amat sibuk dengan ilmunya. Walau bagaimanapun beliau masih tetap tidak merasa cukup dengan ilmu yang telah dimilikinya saat itu. Jiwanya terus haus dan dahagakan ilmu. Ketika beliau mendengar kabar tentang Yaman sebagai gudang ilmu, semangatnya pun menggelegak untuk mendatangi negeri Yaman.

Setelah mendapat bekal yang mencukupi, beliau pun berangkat ke Yaman. Ketika Imam asy-Syafi’i berada di Yaman dalam rangka menuntut ilmu sambil bekerja, beliau telah difitnah oleh para pencinta dunia.

Pada saat itu telah terjadi banyak permusuhan dan pembangkangan terhadap pemerintah yang dilakukan oleh golongan ‘Alawiyyah terhadap pemerintahan bani ‘Abbasiyyah ketika itu.

Mungkin disebabkan beliau dibenci oleh sebahagian kelompok disebabkan prestasi kerjanya ketika itu, beliau pun difitnah oleh para pencinta dunia karena mereka khawatir imam asy-Syafi’i akan mendapat tempat di sisi pemerintah. Beliau dituduh sebagai berkomplot dengan golongan pemberontak kaum ‘Alawiyyin.

Kerana fitnah yang beredar tersebut, seorang panglima Bani ‘Abbasiyyah pun mengirimkan surat kepada khalifah Harun ar-Rasyid yang di antara isinya adalah : “Masyarakat sedang khawatir terhadap bahaya kaum ‘Alawiyyin karena dalam kalangan mereka ada seorang pemuda bernama Muhammad bin Idris yang dengan lisannya mampu melakukan sesuatu yang jauh berbahaya berbanding pembunuh dengan pedangnya. Oleh karena itu, jika tuan memiliki kepentingan terhadap wilayah Hijaz, asingkanlah mereka daripadanya.” Maka Imam asy-Syafi’i pun diikat tangannya bersama beberapa orang ‘Alawiyyin lalu dibawa ke ‘Iraq. (al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i, 1/106-107 – Maktabah Daar at-Turaats)

Atas sebab fitnah tersebut, maka khalifah Harun ar-Rasyid pun lantas memerintahkan Gubernur Yaman supaya mengusir asy-Syafi’i bersama-sama yang lainnya. Lalu beliau pun dibawa ke ‘Iraq dalam keadaan diikat dan dirantai. Selain itu beliau turut dibawa dalam keadaan disiksa sepanjang perjalanan untuk menghadap khalifah. Peristiwa ini terjadi pada sekitar tahun 184H ketika usia Imam asy-Syafi’i 30 tahun. Beliau disiksa, dipenjara, dan hampir dibunuh atas arahan khalifah ketika itu.

Tetapi Allah menyelamatkannya melalui bantuan Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani yang merupakan orang yang banyak berdampingan dengan khalifah. Setelah beliau dibebaskan, beliaupun berguru dan berdampingan dengan Muhammad bin al-Hasan untuk mendapatkan ilmu-ilmu fiqh dan hadits-hadits di ‘Iraq darinya. Setelah beberapa lama, beliau pun kembali ke Makkah dan mengajar di sana sebelum kembali lagi ke ‘Iraq untuk kedua kalinya.

Ini diantaranya adalah sebagaimana yang ditulis oleh al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat 774 H) dalam kitab sirahnya : “Maka imam asy-Syafi’i rahimahullah dibawa dengan dinaikkan ke atas keledai dalam keadaan terikat menuju Baghdad pada tahun 184H. Ketika itu usianya 30 tahun. Kemudian beliau dihadapkan kepada Harun ar-Rasyid dan berlangsunglah perbicaraan di antara mereka berdua sementara Muhammad bin al-Hasan duduk di sisi khalifah Harun sambil memuji imam asy-Syafi’i rahimahullah. Akhirnya jelaslah bagi Harun ar-Rasyid bahwa tuduhan yang dilemparkan ke atas imam asy-Syafi’i tidaklah benar.

Seterusnya Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani pun memberikan tempat kepada imam asy-Syafi’i manakala sahabat beliau Abu Yusuf telah setahun atau dua tahun wafat. Asy-Syafi’i dimuliakan oleh Muhammad bin al-Hasan dan beliau pun menimba ilmu daripadanya.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/133 – Daar al-Hajr)

Walaupun imam asy-Syafi’i banyak mengambil ilmu daripada Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani dan sangat menghormatinya, tetapi perselisihan yang berlaku di antara mereka amat terkenal dan begitu masyhur sekali. Keduanya sering berdiskusi, berselisih pendapat, dan saling berdebat. Ini adalah kerana keteguhan pegangan imam asy-Syafi’i terhadap madzhab ahli hadis manakala Muhammad bin al-Hasan pula adalah madzhab ahli ar-ra’yi yang lebih mengedepankan logika.

Imam asy-Syafi’i banyak membaca dan mendalami karya-karya Muhammad bin al-Hasan, tetapi itu tidak bermakna beliau menerima secara bulat-bulat tanpa sifat kritis dan analisa. Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengatakan : “Untuk memiliki kitab Muhammad bin al-Hasan rahimahullah, aku menghabiskan uang sebanyak 60 dinar. Kemudian aku mempelajarinya lalu aku tuliskan sebuah hadits bagi setiap permasalahan. Maksudnya adalah bertujuan melakukan bantahan (atau koreksi dengan mengemukakan dalil).” (Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 33-34. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 34 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Setelah beberapa waktu mengambil ilmu dari para ulama di ‘Iraq, beliau pun pulang ke Makkah dan namanya ketika itu cukup masyhur lagi dikenali. Beliau pun mulai mengajarkan ilmunya di Masjid al-Haram yang merupakan tempat di mana dahulu beliau menimba ilmu.

Pada setiap kali tiba musim haji, ribuan manusia datang ke Makkah. Bagi mereka yang pernah mendengar nama beliau berserta ilmunya yang mengagumkan, mereka pun berlomba-lomba mengikuti majlis-majlis ilmu imam asy-Syafi’i sehingga nama imam asy-Syafi’i semakin terkenal ke pelbagai negeri.

Di antara yang mendatangi majlis ilmu imam asy-Syafi’i adalah imam al-Humaidi, Ishaq bin Rahawaih, dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah.

Imam al-Humaidi rahimahullah mengatakan : “Ketika Ahmad bin Hanbal rahimahullah tinggal bersama kami di Makkah, beliau mengikuti majlis ilmu Sufyan bin ‘Uyainah rahimahullah. Pada suatu hari, beliau mengajakku ke suatu tempat. Kata beliau : “Di sana ada seorang lelaki Quraisy yang memiliki ilmu pengetahuan dan bicara yang amat baik.” “Siapakah beliau?”, aku bertanya. Ahmad menjawab : “Muhammad bin Idris asy-Syafi’i.”

Ketika di ‘Iraq, Ahmad bin Hanbal pernah turut serta di majlis ilmunya. Karena beliau sering membujukku, akhirnya aku pun duduk bersama dengannya. Setelah mendengar uraian perbahasannya dalam beberapa permasalahan, kami berdiskusi. “Bagaimana pendapat engkau?” Tanya Ahmad B. Hanbal. Aku berusaha mencari-cari kesalahannya dan itu aku lakukan karena dalam diriku terdapat kedengkian terhadap orang Quraisy. Maka Ahmad bin Hanbal pun berkata : “Rupanya engkau tidak senang jika ada pemuda Quraisy memiliki ilmu dan keindahan bahasa seperti beliau. Beliau membahas seratus masalah, tetapi salahnya hanya lima atau hanya sepuluh. Tinggalkanlah yang salah dan ambillah yang benar!”.” (Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 44)

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah pernah ditanya tentang imam asy-Syafi’i lalu beliau menjawab : “Allah telah menganugerahkan asy-Syafi’i kepada kami. Dahulu kami belajar perkataan para ulama dan menuliskan kitab-kitab mereka sehinggalah datang asy-Syafi’i kepada kami. Ketika kami mendengar perkataan asy-Syafi’i, maka kami tahu bahawa beliau lebih alim berbanding para ulama lainnya. Kami bermajlis bersamanya selama berhari-hari dan bermalam-malam tetapi kami tidak melihat sesuatu daripadanya melainkan yang baik-baik.”

Ahmad bin Hanbal juga mengatakan : “Tidak ada seorang pun yang berbicara tentang ilmu yang lebih sedikit kesalahannya dan lebih teguh berpegang terhadap sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada asy-Syafi’i.” Selain itu, beliau juga mengatakan : “Apabila datang persoalan yang tidak ada riwayat haditsnya, maka berilah fatwa berdasarkan perkataan asy-Syafi’i.” Juga kata imam Ahmad : “Tidaklah seseorang memegang tinta dan pena melainkan asy-Syafi’i memiliki sumbangan terhadapnya.” (Mukaddimah Ahkam al-Qur’an karya al-Baihaqi, m/s. 12 – Pustaka Azzam)

Bertemu Imam Ahmad bin Hanbal di ‘Iraq
Saat kepergiannya ke ‘Iraq untuk kedua kalinya pada tahun 195 H (sebahagian riwayat mengatakan tahun 199 H atau 200 H), beliau bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat 241 H) walaupun sebelumnya pernah bertemu di Makkah ketika musim haji.

Perjalanannya yang kedua ini berbeda dengan perjalanannya yang pertama. Jika yang pertama disebabkan beliau difitnah dan diusir, tetapi kali ini adalah kerana kehendaknya sendiri. Nama beliau ketika ini jauh lebih dikenali dibandingkan dengan kedatangan yang sebelumnya.

Beliau mendapat tempat dan kedudukan yang mulia di sisi masyarakat ‘Iraq ketika itu. Para penuntut ilmu yang sebelumnya belajar dengan para ulama lain justru berpindah dan mengambil tempat di majlis-majlis imam asy-Syafi’i rahimahullah.

Sejak beliau tiba di Iraq, para penuntut ilmu berlomba-lomba datang mengambil ilmu kepadanya termasuk Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, dan ‘Abdurrahman bin Mahdi. Di samping itu, beliau turut bergaul dan saling mengambil ilmu daripada Imam Ahmad bin Hanbal. Majlis-majlis para ahli ra’yi yang sebelumnya begitu banyak pun akhirnya berkurang sejak kedatangan imam asy-Syafi’i karena masing-masing penuntut ilmu berpindah ke majlis ilmu imam asy-Syafi’i. Demikian juga para pencinta hadits, mereka tidak melepaskan peluang untuk bermajlis dan mengambil ilmu daripda imam asy-Syafi’i.

Imam Ahmad bin Hanbal berkata : “Kalau sebelumnya banyak kesimpulan kami (para ulama hadits) diambil dari para pengikut imam Abu Hanifah dan terus sepertu itu sampai datangnya imam asy-Syafi’i rahimahullah. Beliau adalah orang yang paling faham tentang kitab Allah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau tidak pernah puas dengan hanya mencari sedikit hadits.”

Imam Ibrahim bin al-Harbi rahimahullah mengatakan : “Ketika imam asy-Syafi’i rahimahullah datang ke Baghdad, di Masjid Jami al-Gharbi terdapat 20 halaqah (majlis ilmu) yang diadakan oleh para ulama ra’yi. Pada Jum’at kedua setelah kedatangan imam asy-Syafi’i, yang tinggal hanya 3 atau 4 halaqah sahaja. Padahal imam asy-Syafi’i tidaklah menetap di ‘Iraq dan adakalanya di Makkah. Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang ke negeri kami pada tahun 195 H dan beliau menetap selama 2 tahun. Setelah itu beliau pergi ke Makkah lalu pada tahun 198H beliau datang lagi dan menetap selama beberapa bulan dan kemudian pergi pula ke Mesir.” (al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i, m/s. 1/220)

Abu Tsaur rahimahullah mengatakan : “Ketika imam asy-Syafi’i datang ke ‘Iraq, datanglah kepadaku Husain al-Karabisi. Beliau dan aku ketika itu cenderung kepada madzhab ahli ra’yi. Kata Husain : “Telah datang seorang lelaki ahli hadits yang juga ahli fiqh. Marilah kita uji beliau.” Maka kami pun berangkat menemui imam asy-Syafi’i. Husain al-Karabisi mengujinya dengan mengajukan sebuah pertanyaan. Maka imam asy-Syafi’i terus menjawabnya dengan membawakan ayat-ayat al-Qur’an dan banyak hadits-hadits sehingga akhirnya kami pun meninggalkan bid’ah-bid’ah yang kami lakukan sebelum itu lalu kami pun mengikutinya.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/220)

Kata Imam Ahmad bin Hanbal : “Imam asy-Syafi’i benar-benar adalah pembela sunnah.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)

Imam Ahmad bin Hanbal juga berkata : “Di antara sikap terpuji imam asy-Syafi’i adalah apabila beliau mendengar sebuah hadits (yang shahih yang bertentangan dengan pendapatnya) yang belum pernah beliau dengar, maka beliau akan mengambil hadits tersebut dan meninggalkan pendapatnya.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/476)

Beliau juga mengatakan : “Mujaddid pada abad pertama adalah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz rahimahullah, dan pada abad kedua adalah imam asy-Syafi’i rahimahullah.”

Kata beliau juga : “Benar-benar semenjak 40 tahun lalu aku sentiasa mendoakan imam asy-Syafi’i dalam setiap shalatku.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/55)

Kata Ahmad bin Hanbal rahimahullah lagi : “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikuti sunnah berbanding imam asy-Syafi’i rahimahullah.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)

Kata ‘Abdurrahman bin Abu Hatim rahimahullah, Ahmad bin Hanbal lebih hebat daripada Imam asy-Syafi’i (dalam bidang hadits) kerana Imam asy-Syafi’i belajar banyak perkara berkaitan hadits daripada Imam Ahmad. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Imam Ahmad tidak membaca kitab tertentu secara khusus bersama Imam asy-Syafi’i, tetapi mereka saling berdampingan dan saling mengambil ilmu di antara satu sama lain.

Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat 728 H), Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah tidak membaca suatu kitab tertentu di hadapan imam asy-Syafi’i rahimahullah secara khusus, tetapi mereka saling berdampingan (mengambil ilmu) sebagaimana imam asy-Syafi’i rahimahullah mendampingi Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani yang mana masing-masing saling mengambil dan memberi ilmu di antara mereka.

Keserasian pendapat di antara mereka berdua dalam ushul fiqh lebih banyak berbanding keserasian imam asy-Syafi’i dengan Muhammad bin al-Hasan. Usia imam asy-Syafi’i rahimahullah 17 tahun lebih tua berbanding imam Ahmad bin Hanbal. Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang pertama kali ke Baghdad pada tahun 187H. Ketika Muhammad bin al-Hasan masih hidup dan setelah wafatnya al-Qadhi Abu Yusuf rahimahullah, kemudian beliau datang untuk kali keduanya ke Baghdad pada tahun 197H. Ketika itulah beliau bertemu dengan Ahmad bin Hanbal.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyah, 7/533)

Pergi ke Mesir
Ketika fitnah ilmu kalam melanda, imam asy-Syafi’i pun tidak lagi senang tinggal di ‘Iraq. Ketika itu ‘Iraq dipimpin oleh khalifah al-Ma’mun dan beliau dikuasai oleh tokoh-tokoh ahli kalam sehingga al-Ma’mun sendiri turut merealisasikan permusuhan terhadap para ahli sunnah.

Khalifah al-Ma’mun ketika itu begitu rapat dan bergaul sama dengan para tokoh utama ulama ilmu kalam malah beliau menjadikan para ulama ahli kalam sebagai juru tulis dan sahabat-sahabat yang akrab. Tokoh-tokoh ahli kalam diberi kedudukan yang istimewa di sisi beliau. Dunia Islam pada waktu itu benar-benar bergolak dengan fitnah ilmu kalam.

Darah-darah para ulama ahli sunnah mula halal ditumpahkan, mereka dibunuh dan disiksa dengan kejam. Di antara fitnah yang begitu jelas melanda adalah perintah supaya mengimani bahawa al-Qur’an adalah makhluk, bukan kalamullah. Para ulama ahli sunnah benar-benar tersiksa dan menderita ketika itu.

Di sinilah bermulanya puncak kegemilangan bid’ah mu’tazilah (ahli kalam). Ia menyebar-luas di ‘Iraq di bawah pemerintahan khalifah al-Ma’mun dan sunnah pun tampak tenggelam, manakala tokoh-tokohnya ditindas dan dibunuh.

Inilah faktor yang menjadikan imam asy-Syafi’i rahimahullah berhasrat meninggalkan ‘Iraq lalu memilih dan menuju Mesir. Di Mesir, madzhab imam Malik masih tersebar luas dan ia adalah termasuk madzhab ahli hadits atau ahli sunnah wal-jama’ah. Suasana di Mesir ketika itu masih murni dan jauh dari bid’ah-bid’ah ilmu kalam dan tokoh-tokohnya.

Imam asy-Syafi’i berkata di dalam Sya’irnya:

Jiwaku ingin ke Mesir
Tetapi aku perlu menempuh tanah yang tandus...
Wallahi, aku tidak tahu sama ada untuk mendapatkan kekayaan
Atau meraih kebahagiaanku di sana.
Atau ke kuburan aku akan digiring? 
(Diiwaan asy-Syafi’i, m/s. 47)

Setelah sampai di Mesir beliau pun menuju ke Masjid ‘Amr bin al-‘Ash. Untuk pertama kalinya beliau berbicara di situ dan dengan serta-merta beliau pun dicintai dan disukai oleh masyarakat. (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 2/284)

Harun bin Sa’id al-Ayli berkata : “Aku tidak pernah melihat orang seperti imam asy-Syafi’i rahimahullah. Ketika datang ke Mesir, orang-orang berkata, “Telah datang kepada kita seorang lelaki Quraisy. Kami pun mendatanginya ketika beliau sedang shalat. Ternyata kami belum pernah melihat seorang yang shalatnya lebih baik daripada beliau dan wajah yang lebih tampan daripada beliau. Bila beliau berbicara, kami pun belum pernah mendengar ada orang lain yang lebih indah bahasanya dari bahasa beliau. Kerana itulah kamipun tertarik kepadanya.”

Di sanalah ilmu dan keluasan pandangan imam asy-Syafi’i rahimahullah terpapar. Ia meguasainya melalui pengembaraan dan beliau mengambil banyak pelajaran melalui siri-siri pengembaraan tersebut. Beliau teliti kembali kitab-kitab yang telah ditulisnya lalu beliau perbaiki kesalahan-kesalahan yang ada. Beliau banyak mengubah pendapat-pendapatnya dengan mengemukakan pendapat-pendapat yang baru lalu beliau tuliskan ke dalam kitab.

Banyak para ulama yang terkesan dengan ilmu, manhaj, dan keteguhan beliau dalam mengikuti sunnah. Mereka belajar dan berguru kepadanya setelah sebelumnya mereka fanatik terhadap satu madzhab yaitu sama ada madzhab Malik bin Anas atau madzhab Abu Hanifah. (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Wafatnya Imam asy-Syafi’i rahimahullah
Imam asy-Syafi’i begitu giat dan sibuk berdakwah sehingga akhir hayatnya. Beliau begitu gigih menyebarkan ilmu dan mengarang kitab di Mesir tersebut sehingga hal itu memberi mudharat ke atas tubuh beliau. Akibatnya beliau terkena penyakit buwasir yang menyebabkan keluarnya darah. Tetapi disebabkan kecintaannya terhadap ilmu, beliau tetap meneruskan pekerjaannya tersebut tanpa mempedulikan sakitnya. Sehingga akhirnya beliau pun meningga dunia di akhir bulan Rajab tahun 204H. Semoga Allah memberi rahmat yang luas kepadanya. (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 2/291. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39)

Para Guru dan Murid Imam asy-Syafi’i
Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengambil banyak ilmu dari para ulama di pelbagai tempat dan wilayah. Ini disebutkan oleh ramai ulama tahqiq dan penyusun biografi seperti al-Baihaqi, Ibnu Katsir, al-Mizzi, dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani.

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah : “Imam asy-Syafi’i belajar banyak hadits dari para syaikh dan para imam. Beliau membaca sendiri kitab al-Muwaththa’ dengan hafalan sehingga imam Malik rahimahullah kagum terhadap daya hafalan dan usaha gigihnya. Diriwayatkan daripada Imam Malik bahwa imam asy-Syafi’i rahimahullah mengambil ilmu ulama Hijjaz sebagaimana beliau mengambilnya daripada Syaikh Muslim bin Khalid az-Zanji rahimahullah.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/132-133 – Daar al-Hajr)

Imam al-Baihaqi menyebutkan di antara guru Imam asy-Syafi’i di Makkah adalah Imam Sufyan bin ‘Uyainah (Wafat 198 H), ‘Abdurrahman bin Abu Bakar bin ‘Abdullah bin Abu Mulaikah, Ismai’il bin ‘Abdullah bin Qisthinthin al-Muqri (Wafat 170 H), Muslim bin Khalid az-Zanji (Wafat 179 H), dan banyak lagi yang lain.

Kemudian ketika di Madinah adalah Imam Malik bin Anas, ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad ad-Darawadi, Ibrahim bin Sa’ad bin ‘Abdurrahman bin ‘Auf, dan selainnya. Dari wilayah-wilayah lainnya pula adalah seperti Hisyam bin Yusuf ash-Shan’ani (Wafat 197 H), Mutharrif bin Mazin ash-Shan’ani, Waki’ bin al-Jarrah (Wafat 196 H), dan Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani (Wafat 189 H), serta banyak lagi selainnya.

Imam al-Baihaqi rahimahullah turut menyebutkan anak-anak murid utama Imam asy-Syafi’i rahimahullah dalam kitab Manaqibnya. Secara umumnya, orang yang mengambil ilmu secara langsung daripada Imam asy-Syafi’i amatlah ramai dan tidak ada yang mampu menghitungnya kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tetapi di antara yang terkenal lagi utama adalah seperti Imam ar-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi lahir pada 174 H dan wafat pada tahun 270 H. Beliau banyak meriwayatkan hasil tulisan Imam asy-Syafi’i.

Kedua, Abu Ibrahim Isma’il bin Yahya al-Muzani (Wafat: 264H). Imam al-Muzani dikatakan oleh Imam asy-Syafi’i sebagai, “pembela madzhabku.”

Seterusnya adalah Imam Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya al-Buwaithi rahimahullah (Wafat 231 H). Beliau adalah al-Imam, al-‘Allamah, Sayyid al-fuqaha’ (imam para ahli fiqh), dan merupakan sahabat imam asy-Syafi’i yang saling berdampingan sehingga ia menjadi murid asy-Syafi’i yang paling menonjol.

Imam asy-Syafi’i menyebutkan tentang al-Buwaithi : “Tidak ada seorang pun dari para sahabatku yang lebih banyak ilmunya daripada al-Buwaithi.”

Al-Buwaithi banyak berhadapan dengan fitnah ahli kalam (mu’tazilah) ketika pemerintahan khalifah al-Watsiq. Beliau disiksa atas arahan khalifah dan akhirnya mati dalam penjara. Beliau adalah seorang yang sabar, imam dalam ilmu, menjadi contoh dalam amal, seorang yang zuhud, sentiasa berzikir, dan banyak tahajjudnya.

Imam ar-Rabi’ bin Sulaiman rahimahullah berkata : “al-Buwaithi rahimahullah bibirnya sentiasa bergerak mengingati Allah. Aku tidak pernah menemui orang yang lebih cepat memetik hujjah dari Kitabullah mengatasi al-Buwaithi.

Aku melihat beliau dinaikkan di atas seekor kuda dengan leher dan kakinya diikat serta diberi beban batu seberat 40 rithil (lebih kurang 17 kilogram).

Al-Buwaithi berkata : “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan makhluk dengan kata “kun” (jadilah!), maka makhluk itu pun jadi (wujud). Jika kata “kun” merupakan makhluk, seakan-akan suatu makhluk telah diciptakan oleh makhluk yang lain. Jika aku dimasukkan untuk menghadapnya (khalifah al-Watsiq), aku akan tetap berkata jujur padanya. Aku akan mati dalam belenggu ini sehingga datang suatu kaum yang mengetahui bahawasanya telah mati dalam keadaan terbelenggu segolongan manusia kerana persoalan ini.”

Al-Buwaithi rahimahullah meninggal dunia dalam keadaan terbelenggu di penjara ‘Iraq pada tahun 231H. (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 12/358)

Demikianlah secara ringkas catatan-catatan berkaitan kehidupan, peribadi, pengembaraan, dan keilmuan imam asy-Syafi’i rahimahullah. Semoga kita dapat mengenali beliau dengan lebih dekat sekaligus mengambil manfaat yang luas daripada beliau. Tidak hanya sekadar mengenal dan mendengar nama, tetapi mengenal beliau dari sudut ilmu, agama, dan karena Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Wallahu a’lam.
Share on :

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

 
© Copyright Aceh Loen Sayang 2011